Rabu, 31 Oktober 2012

Kuliah Tafsir Nurul Ehsan Jilid 4, tafsir Surah At-Thalaq - Ustaz Hj Shamsuri


Kuliah Tafsir Nurul Ehsan Jilid 4, tafsir Surah At-Thalaq oleh Ustaz Haji Shamsuri berlangsung di Surau Taman Kerian, Parit Buntar.

Antara kandungan menarik : 

1- Suami / isteri terbaik
2- Menangis ikut bekas isteri (Agungnya cinta, besarnya benci)
3- Isteri tak "kelapaq" kat suami
4- Perbuatan yang membuatkan bidadari syurga marah
5- Rasullullah pernah bercerai, dengan siapa?
6- Suami tidor Surau Taman Kerian lepas cerai.
7- Sistem AES, tarik balik duit 500
8- Hikmah tempoh edah
9- Posmen kena marah, Mee udang free
10- Hukum mengorat janda (kona baring depan rumah)
11- Dalil membolehkan mengumpat untuk kebaikan



Rabu, 24 Oktober 2012

Selasa, 23 Oktober 2012

Jalan Kaki Tunai Haji 314 Hari Dari Bosnia..

 


HADZIC- Berjalan kaki 5,700km untuk tunaikan haji

SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.

"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.

Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.

"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.

"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.

Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq. Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.

Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. - AFP

Isnin, 15 Oktober 2012

10 Hari Awal Bulan Zulhijjah Yang Istimewa..




Oleh  Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

ANTARA kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT maksudnya:

“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)
Kata Ibnu Kathir:  
“Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad, At-Tirmizi.

3. Firman Allah SWT, maksudnya;

“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah Al-Haj: 28).
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:

1. Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana itulah sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” HR Muslim. - Ini umum untuk semua waktu.

2. Puasa. Kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata:

“Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei.

Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hal ini kerana, hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan:

“Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari:

“Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.” 

Katanya lagi:

“Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”
Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya, maksudnya;

”Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” HR Muslim.

PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijjah).
Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya. Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara-cara menyambut musim kebajikan:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69).

Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” HR Muslim.
Kata Imam Nawawi RHM: 

“Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” Syarah Sahih Muslim.
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga agar kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
(http://www.abuanasmadani.com)

Ahad, 7 Oktober 2012

Artis Rap Wanita P'cis Peluk Islam Kerana Solat


Posted by http//ibnuhasyim.blogspot.com


Paris: Kerana solat, seorang penyanyi rap wanita terkenal di Perancis, bernama Diam, mengejutkan peminatnya apabila buat pertama kali tampil memakai hijab selepas memeluk Islam. Diam atau nama sebenarnya Melanie Georgiades, disifatkan telah melakukan proses transformasi sepenuhnya daripada seorang penyanyi rap kepada seorang wanita Muslim.

Sejak 2009, Diam telah mencetuskan kontroversi kerana jarang muncul di khalayak ramai dan kontroversi berkenaan akhirnya lenyap dengan penampilan pertamanya dalam interview dengan stesen tv Perancis, TF1. Dalam temu bual eksklusif itu, Diam menceritakan kisah silamnya dan bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam. Jelas Diam, dia diperkenalkan secara kebetulan oleh seorang rakan beragama Islam.

20121004 Ustaz Ismail Din - Takut Hanya Kepada Allah swt

Kenapa Zahid Hamidi Perlu Takut


Mohd Sayuti Omar - msomelayu.blogspot.com

Kalau Zahid Hamidi yakin bahawa tidak ada penyelewengan dan rasuah dalam pemnbelian kapal selam Scorpone kenapa beliau perlu takut dengan penjelasan peguam Perancis, William Bourdon dan perlu menghalangnya dari datang ke negara ini? Sebagai menteri yang kelihatan mempunyai integriti Zahid seharusnya mengalu-alukan kedatangan peguam berkenaan bukan cuba mempertikaikannya.

Tidak perlu Zahid memutar kata dengan menganggap kedatangan Bourdon itu sebagai campur tangan atau demi kepentingan politik pembangkang. Apa yang penting rakyat mahu tahu penjelasan apa-apa dapatan atau analisa peguam itu terhadap skandal berkenaan kerana ia hak rakyat dan umum mengetahuinya.

Sekiranya Zahid Hamidi merasakan tidak ada penyelewengan dan menteri pertahanan sebelum ini, ketika kapal selam itu dibeli bersih dan putih, kenapa perlu bimbang dan walang, biarlah peguam itu memberi penjelasan ataupun menteri pertahanan itu dipanggil ke mahkamah.

Kita sama-sama penjelasan berkenaan, kita ada otak boleh menilai sendiri apakah penjelasan itu rekaan atau satu hakikat.  

Apa juga kemungkaran dan kejahatan tidak boleh disembunyikan. Betapa ia disusuk akhirnya ia akan menanah dan berdarah juga dari dalam kemudian akan pecah. Begitu juga dengan kebenaran itu akan menjelma juga satu hari nanti kalaupun tidak hari ini tetapi esok, lusa dan beberapa tahun akan datang akan diketahui juga. Memang fitrah begitu kemungkaran itu akan ditenggelami oleh kebenaran.

Cara Zahid memberi pandangan berhubung jemputan Bourdon oleh pihak tertentu itu seakan beliau cuba ingin melindungi bosnya saja. Bagaimana pun pelik sedikit, dalam masa sama beliau menjelaskan skandal itu berlaku bukan di zamannya menjadi menteri pertahanan. Apakah motif pernyataan itu?

Khatib ingin mengingati Zahid dan diri khatib sendiri, bukan sesuatu yang baik melindungi seorang penjenayah walaupun dia kawan sekalipun. Islam tidak mengajar demikian.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan sekiranya Fatimah mencuri akan ku potong tangannya menunjukkan bahawa Islam tidak ada tolak ansur di dalam soal sesiapa berbuat salah. Rasanya sebagai seorang pelajar kolej Islam, rasanya Zahid arif mengenai patah-patah kata Rasulullah itu.

Menuduh Anwar Ibrahim ada kepentingan politik atas pelawaan Bourdon itu, kata-kata itu membidas ke atas batang hidung Zahid sendiri. Apabila Zahid juga mempertahankan seseorang yang mungkin dianggap bosnya, apakah itu bukan dibuat atas kepentingan politik (dirinya)?

Kita tidak nampak kedatangan peguam itu untuk memburukkan negara dan imej PM seperti tanggapan Zahid. Walhal penjelasan itu nanti demi menjaga maruah negara dan imej perdana menteri sendiri. Selagi isu itu tidak dijelas dunia akan menganggap Malaysia mempunyai skandal rasuah terbesar dan perdana menterinya kini, Najib Razak berada di bawah belenggu skandal dan jenayah paling huduh.

Kepada Zahid bertindaklah dengan waras dan jangan sesekali mengulangi beberapa kali, beberapa tindakan politik anda yang kelas budak-budak Keadilan yang menghidap kudis di atas tengkok. [wm.kl.9:11 am 07/10/12]

Rabu, 3 Oktober 2012

Najib: Berani Bentang Tak Berani Berdepan ( Merah Tinta MSO )


Mohd Sayuti Omar  (msomelayu.blogspot.com)
JENGOK BAJET                                                                                         

Bagi seorang individu dan rakyat yang bermaruah, menerima pakai dan menjunjung semangat perundingan, perdebatan dan mencari konklusif secara baik akan merasa malu dengan tindakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Najib Razak yang menuang parlimen semasa ketua pembangkang Anwar Ibrahim membahas bajet yang dibentangnya.

Apakah ertinya bajet dibentangkan kalau ianya tidak diberi pandangan dan ulasan? Lebih 'mahabul' atau 'samrawit' lagi kalau pandangan dan teguran diberikan tidak didengar oleh orang berkenaan. Seolah-olah terguran dan pandangan itu penting dan bajet yang dibentangkan itu sudah perfect seratus peratus.

Jiwa Najib tak sehebat baju hijau.
Saya tidak tahu apakah Najib memahami sistem parlimen, fungsi dan juga tanggungjawabnya. Parlimen ada dewan legislatif untuk membicarakan hak-hak kepentingan rakyat dan negara. Di situlah segala keputusan dirumus demi kebaikan rakyat dan negara dicernakan. Di dalam parlimen seharusnya tidak ada perasaan benci membenci sebagai seteru politik sebagai mana di pentas pidato. Parlimen adalah dewan perdamaian dan pencurahan idea dinamik. Ia berbeza sekali dengan pentas ceramah.