Isnin, 14 Mac 2011

Kecelakaan Bagi Orang Yang Makan Banyak

KITAB BAHRU AL-MADZI (JUZU' 17) Bab Ke - 29

HADITH YANG MENERANGKAN CELAKA MAKAN BANYAK


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! makan banyak itu bala ke atas seseorang yang meng'amalkannya. Kerana ialah yang menyebabkan rugi dunia dan akhirat, kerana seseorang yang banyak makannya itu kuat kenyangnya, apabila kuat kenyangnya kuat pula malasnya, dan mahu pula kuat tidurnya dan bersenang-senang diri, tiada mahu buat kerja, dan tidak mahu berbuat 'ibadat, rugilah ia dunia dan akhirat. Dan jadilah ia banyak laparnya dinegeri akhirat kerana kosong ia daripada 'ibadat yang jadi bekalan akhirat itu, dengan kerana itulah diberitahu oleh Nabi kita kepada umatnya, hendaklah umatnya jangan kemukakan makan banyak, kerana orang yang makan banyak dan kenyang ia secukup-cukup kenyang di dalam dunia ini, nescaya panjang laparnya di ngeri akhirat, begitulah datang khabarnya di dalam hadith-hadith, satu daripadanya iaitu hadith yang di keluarkan oleh Abu 'Isa at-Tarmidzi dengan katanya :

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya Abdullah bin 'Umar bin al-Khathab Radhiyallahu 'anhu katanya : telah mengeluarkan sendawa oleh orang laki-laki di sisi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Bila didengar oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam akan sendawanya itu, lalu ditegurnya  kerana sendawa itu satu alamat kenyang daripada makan banyak, dengan sebab itu keluar bunyi  dari dalam kerongkong itu serta angin dengan sebab kenyang daripada makan banyak itu. Sabda Nabi pada teguranya : Hai laki-laki, Jauhkan olehmu akan sendawa kamu itu dari kami, yakni jangan buat makan banyak sampai mengeluarkan sendawa, kerana perbuatan yang demikian itu mendatangkan sangat kenyang, maka bahawasanya yang banyak kenyang  daripada orang-orang dalam dunia ini, jadi panjang mereka itu laparnya pada hari qiamat. Dengan kerana itu aku beri ingat.

Kata Abu 'Isa at-Tirmidzi : Bermula ini hadith gharib daripada ini wajah. Dan ada datang satu riwayat daripada Abi Juhaifah pada bab ini.

Hadith yang menerangkan : Orang yang banyak makan didunia akan menjadi lapar di negeri akhirat.

Diriwayatkan daripada 'Atiyyah bin 'Amir Al-Juhaniy katanya : telah aku dengar akan seorang daripada sahabat Nabi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, pada hal dibanyakkan orang atas makanan yang dimakannya, maka katanya : Memadaku, bahawasanya telah aku dengar akan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda ia : Bahawasanya yang lebih banyak daripada orang pada makan kenyang dalam dunia ini ialah yang lebih panjang masa lapar di negeri akhirat.

(Meriwayatkan hadith ini oleh Ibnu Majah dan al-Baihaqi.)

 Makan banyak itu bala ini umat Muhammad Shallallahu 'Alaihi wasallam.

       Sunguhnya inilah awal-awal bala turun ke atas umat Muhammad setelah wafat Nabi, iaitu membanyakkan makan dan loba ( tamak ) atas bersedap dengan semegah-megah makanan, dengan kerana itu jadilah sedikit 'amal mereka itu, sebagai hadith yang datang riwayatnya demikian ini :

Diriwayatkan daripada isteri Rasulallah Shallallahu 'alaihi wasallam katanya: Awal-awal balayang jadi pada ini umat Muhammad kemudian wafat Nabinya ialah kenyang yakni membanyakkan makan, maka bahawasanya satu kaum itu apakala kenyang perutnya gemuk tembun tubuhnya, maka jadi dha'if hatinya yakni berkurangan imannya dengan Allah Ta'ala kerana tinggalnya atas kesedapan dan berkekalannya atas bersuka-sukaan. Dan jadi kuat ia menurut hawa Nafsunya.

(Meriwayatkan hadith ini oleh imam Bukhari pada kitab Al-Dhu'afa').
( At-Targhib wa at-Tarhib, muka surat 420 dari juzu' ke - 3 )

Catatan Mz Abedy : Kepada kaum keluargaku yang diberi Allah kesempatan hidup didunia yang sementara ini janganlah kita ambil mudah akan pesanan daripada Junjungan Nabi kita, berpada-padalah dengan apa yang ada pada diri kita, janganlah nafsu sentiasa menunggangi kita kearah perkara tidak mendapat keredhaan Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan