Rujuk Kitab BAHRUL AL-MADZI Juzu’ 17 Muka Surat : 127
Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! Selawat Nabi itu yakni mendo’akan atasnya, maka do’anya itu ada banyak macam yang telah dikumpulkan oleh ‘ulama’ daripada Nabi di dalam beberapa kitab orang-orang dahulu dan sekarang. Maka selawatkan Nabi itu satu ‘amal yang besar faedahnya bagi orang yang meng’amalkan dengan sentiasanya, kerana beberapa banyak kelebihannya disebutkan di dalam beberapa banyak hadith Nabi juga. Satu daripadanya ialah sebagai hadith yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa at-Tirmidzi dengan katanya:
Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasalam, namanya Ubai bin Ka’ab Radhiyallahu ‘anhu katanya, adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam, apabila habis dua pertiga malam, bangun menjagakan orang-orang yang lalai daripada bersedia bekal akhirat.
Maka sabdanya : Hai manusia ! ingatlah sekelian kamu akan Allah Ta’ala, ingatlah sekelian kamu akan Allah Ta’ala,janganlah sekelian kamu lalai dengan sebab tidur dan bersedap-sedap menurut apa kehendak nafsu, bangun sekelian kamu berbuat ‘amal, manakah masanya sekelian kamu mahu nanti berbuat ‘amal itu. Telah tentu datang gempa besar yang menjadikan runtuh bumi, yang menurut di belakangnya oleh qiamat yakni runtuh langit dan pecah-belah matahari dan bulan. Telah tetap datang maut dengan barang yang di dalamnya daripada ‘azab kubur dan soal Mukar dan Nakir dan bagkit hidup semula berhimpun di Padang Mahsyar dan berjemur di dalam orang yang ramai dan banyak di sana dan hisap dan mizan dan lainnya.
Bila di dengar oleh sahabat-sahabat Nabi akan sabdanya yang demikian itu, lalu berkata seorang daripada sahabat Nabi yang bernama Ubai bin Ka’ab:
Kata Ubai : Bila aku dengar sabda Nabi demikian itu, lalu berkata aku baginya : Ya Rasulullah ! Bahawasanya hamba itu suka membanyakkan berdo’a atasMu, maka berapa banyak masanya hamba jadikan bagi tuan hamba daripada do’a hamba itu.
Bila didengar Nabi pertanyaan ku itu, lalu dijawabnya dengan sabdanya: Seberapa sukamu, ikut turut redha kamu dan suka hatimu dan sedap ber’amal kamu dan mengambil bekalan daripada segala kebajikan.
Kata Ubai : Telah berkata aku bagi Nabi : Ya Rasulullah, hamba jadikan serubu’ masa mengucap selawat atas tuan hamba. Jawab Nabi : Ikut sukamu dan redha kamu, maka sekiranya kamu lebihkan daripada itu, maka iaitu lebih baik bagi mu.
Kataku: Hamba jadikan ya Rasulullah, do’a hamba itu seperdua masanya. Sabdanya : Sebarang engkau suka, dan ikut kehendakmu, maka jika sekiranya engkau lebihkan daripada itu maka iaitu lebih baik bagimu. Kata Ubai Lagi : Kataku: hamba jadikan dua pertiga waktu. Sabdanya : Ikut suka kamu sebanyak mana engkau hendak mengucap selawat, maka perbuatlah, maka jika sekiranya engkau mengucap lebih daripada dua pertiga waktu itu, maka itu lebih baik bagimu. Kata Ubai: Kataku Hamba jadikan bagi tuan hamba semua waktu akan mengucap selawat atasmu itu.
Bila didengar Nabi akan kata Ubai demikian itu, ia pun bersabda:
Sabda Shallallahu ‘alaihi wasalam : Kalau begitu engkau perbuat, nescaya dipelihara Allah akan dikau daripada kejahatan susah hati kamu, dan dihilangkanNya segala dukacitamu, serta dihapukanNya segala balamu dan diampunNya segala dosamu.
Kata Abu ‘Isa at-Tirmidzi: Bermula ini hadith hasan lagi shahih.
MZ Abedy : Setelah kita sama-sama mengetahui dan memahami akan kelebihan berselawat keatas Nabi saw, maka janganlah kita ambil ringan, untuk kita beramal tidak semestinya kita perlu berada didalam masjid atau surau, kita boleh beramal (berzikir @ berselawat) dimana-mana waktu, isilah masa yang terluang/kosong dengan berzikir atau berselawat. Fahamilah betul-betul apa yang disabdakan oleh Nabi seperti dibawah ini… ulang baca terjemahan ini sehingga faham dan meresap kedalam lubuk hati..
sabdanya : Hai manusia ! ingatlah sekelian kamu akan Allah Ta’ala, ingatlah sekelian kamu akan Allah Ta’ala,janganlah sekelian kamu lalai dengan sebab tidur dan bersedap-sedap menurut apa kehendak nafsu, bangun sekelian kamu berbuat ‘amal, manakah masanya sekelian kamu mahu nanti berbuat ‘amal itu. Telah tentu datang gempa besar yang menjadikan runtuh bumi, yang menurut di belakangnya oleh qiamat yakni runtuh langit dan pecah-belah matahari dan bulan. Telah tetap datang maut dengan barang yang di dalamnya daripada ‘azab kubur dan soal Mukar dan Nakir dan bagkit hidup semula berhimpun di Padang Mahsyar dan berjemur di dalam orang yang ramai dan banyak di sana dan hisap dan mizan dan lainnya.
Selamat beramal….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan