KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kedatangan para peserta demonstrasi ke Kedutaan Amerika pada hari Jumaat ini, 21 Sept bagi membantah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Bagi DPPWP, kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob kehadiran peserta untuk berdemonstrasi tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik mencerminkan keprihatinan dan sensitiviti rakyat Malaysia berkenaan isu agama di negara ini.
“Ianya turut membuktikan rasa cinta dan sayang umat Islam di Malaysia terhadap Rasulullah SAW.
“DPPWP yakin, kehadiran demonstrasi kali ini bukan sahaja dihadiri oleh rakyat Malaysia, malahan akan turut disertai oleh ribuan umat Islam yang berasal dari negara lain tetapi menetap di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, DPPWP turut mengecam terhadap sikap biadap yang ditunjukkan oleh Sam Bacile atau nama lainnya Naloula Basseley Nakoula yang secara berani menghina Nabi Muhammad SAW melalui filemnya.
“Perbuatan Sam Bacile ini menzahirkan sikap anti-Islamnya dan tidak bertamadun kerana sanggup menghina agama lain.
“Golongan ini sentiasa tidak puas dan akan mencari jalan bagaimana untuk menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Bagi DPPWP, katanya tiada kemaafan bagi mana-mana pihak yang sanggup menghina Nabi Muhammad SAW yang amat dicintai.
“Bahkan, kami Pemuda PAS sanggup menggadaikan nyawa dan darah demi mempertahankan kesucian Islam dan Rasulullah SAW daripada dihina,” ujarnya lagi.
Justeru, kata beliau DPPWP ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang berada di Lembah Klang untuk hadir bersama-sama berhimpun di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.
DPPWP juga, ujarnya komited untuk menghantar seramai 5 ribu orang pemuda untuk bersama-sama hadir ke demonstrasi pada Jumaat ini.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan