Subky Latif,
25 Sep 2012
KATA Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri, kuasa asing – mana-mana saja – mahukan perubahan kuasa di Malaysia supaya Perdana Menterinya seorang yang mereka suka.
Apa yang dikatakan kemahuan kuasa asing itu kira-kira sama saja dengan kemahuan Dr. Mahathir kerana beliau juga mahukan seorang Perdana Menteri yang dia suka. Dia dapati dia tidak suka Tun Abdullah Badawi, dia berusahakan gantikan Perdana Menteri dulu itu dengan Perdana Menteri sekarang.
Mulai ada pandangan sekarang, beliau mulai tidak suka dengan Perdana Menteri Najib, maka dia katakan mahukan Tan Sri Muhuyiddin Yassin menggantikan Najib supaya jadi Perdana Menteri yang disukainya.
Apapun di dalam negeri pembangkang mulai disokong oleh rakyat supaya perubahan regim berlaku. Pembangkang juga mahukan seorang Perdana Menteri yang ia suka.
Mengapa Dr. Mahathir tidak sukakan perubahan baik kerana ia dimahukan pembangkang mahupun ia dimahukan oleh kuasa asing, ialah kerana Perdana Menteri baru itu nanti ialah yang tidak disukainya.
Dr. Mahathir sebanarnya tidak membuat kenyataan yang pelik atau luar biasa. Semua kuasa asing di dunia mahukan Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara itu adalah dari orang yang mereka suka.
Dr. Mahathir sendiri semasa berkuasa dulu atas sebab tertentu tidak sukakan Presiden Clinton. Dia juga tidak mahu Clinton digantikan oleh Naib Presiden Amerka ketika itu Al-Gore kerana dia tidak sukakan Al-Gore. Dr. Mahathir mahukan Presiden baru Amerika seorang yang dia suka.
Malaysia, termasuk Dr. Mahathir dulu tidak suka Lee Kuan Yew jadi Perdana Menteri Singapura. Kita mahukan seorang Perdana Menteri yang kita suka. Bodohlah kita kalau kita mahukan Perdana Menteri Singapura itu seorang yang kita tidak suka.
Kalau kuasa-kuasa asing merasakan Najib sseorang Perdana Menteri yang mereka tidak suka, maka bodohlah mereka kalau mereka tidak mahukan perubahan.
Ia adalah soal biasa bagi mana-mana kuasa asing mahukan Perdana Menteri yang tidak mereka sukai digantikan.
Misalnya Amerika tidak mahu Putin jadi Presiden Rusia semula. Ia mahukan Presiden yang ia sukai. Tetapi tiada apa yang dapat Amerika kata apabila Rusia memillih semula Putin.
Bagi rakyat Malaysia mahukan perubahan kerajaan dan Perdana Menteri tidak boleh patah hati kerana ia sama dengan kemahuan kuasa asing. Apakah kerajaan baru dan Perdana Menteri baru disukai oleh kuasa asing atau tidak, ia adalah masalah mereka.
Jika bakal Perdana Menteri baru nanti disukai atau tidak oleh kuasa asing, ia adalah masalah mereka. Kemahuan kita tidak boleh dihalang oleh kemahuan mereka. Kita buat perubahan bukan kerana kuasa asing suka atau tidak suka, tetapi ketika buat perubahan kerana kepentingan kita.
Bodohlah mereka kalau mereka tidak mahu sokongan kita. Mereka mesti mahukan seorang yang mereka suka. Kita pula tidaklah bodoh apabila kita menang kita mesti tunduk kepada mereka. Kita boleh bersama mereka atas perkara yang kita sama-sama suka dan kita boleh tidak bersama mereka atas perakara kita tidak suka.
Mungkin yang tidak sukakan Najib itu Soros. Itu adalah masalahnya. Kita boleh bersama Soros atas perkara yang boleh menguntungkan negara kita. Kita juga tidak akan bersamanya jika ada yang kita tidak setuju dengannya.
Seperti Dr. Mahathir sendiri. Dia pernah berbalah dengan Soros semasa beliau jadi Perdana Menteri. Tetapi selepas dia bersara, Soros ada berjumpanya di pejabatnya. Soros itu memang banyak duit, bodohlah Mahathir kalau semua masa berbalah dengan Soros. Kalau Soros boleh beri dia 30 atau 40 juta, dia pun gelap mata juga.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan