Isnin, 24 Jun 2013

Kuliah Politik Presiden PAS: Era Khulafa' Ar-Rasyidin Siri 1

Oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

ANTARA matlamat Allah mencipta manusia adalah agar mereka menjadi khalifah di muka bumi-Nya. Kewajiban ini merupakan kewajiban yang berada dalam kedudukan yang kedua selepas kewajiban beribadat. Perkara ini turut diisytiharkan kepada para Malaikat sebagaimana firman Allah yang menyatakan :

* “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka (para Malaikat) bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata); Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu mereka yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berkata; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah : ayat 30)

Rasulullah SAW bersabda,
* “Kaum Bani Israel pada zaman dahulu dipimpin oleh Para Nabi (mereka menjadi ahli politik). Setiap kali wafatnya seseorang Nabi, penggantinya Nabi juga selepasnya. Sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan akan berlakunya perlantikan khalifah (yang mengganti Nabi bagi memimpin umat), mereka ramai. Para Sahabat bertanya; Apakah perintah-mu kepada kami? Rasulullah SAW menjawab; Tunaikan bai’ah (janji ketaatan) kepada yang pertama dan seterusnya. Berilah kepada mereka hak mereka (untuk memerintah). Maka sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka berkenaan urusan mereka yang diminta supaya memimpin.”


Khilafah adalah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. 
Ia boleh disebut dengan kewajiban berpolitik. Kewajiban ini dilaksanakan oleh semua para Rasul sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW. Mereka semua berdakwah dan berpolitik, dalam erti kata lain membawa maksud mengajak manusia kepada Islam dengan makna yang menyeluruh dan sempurna dari segi akidah, syariat, akhlak dan pemerintahan yang mendaulatkannya.

Para Rasul bukan sahaja berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah, malah mereka turut mengajak raja dan para pemimpin pada zaman masing-masing supaya menganut Islam dan mentadbir negara dengan Islam. Ada kalangan Rasul sendiri menjadi raja atau khalifah apabila ada di kalangan pemimpin dan rakyatnya zalim dan monolak seruan Para Rasul.

Rasulullah SAW melaksanakan kewajiban ini. Baginda SAW pernah menolak tawaran para pemimpin Quraish yang mahu melantik baginda menjadi raja jahiliyyah Makkah dengan syarat menolak Islam sebagai agama yang memerintah. Rasulullah SAW menolak tawaran lumayan itu dan memilih jihad yang payah dan mengorbankan harta dan jiwa raga sehingga beliau dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah bagi menunaikan kewajiban Tuhan ini.

Selepas penduduk Madinah menerima Islam dengan sempurna. Rasulullah SAW tetap meneruskan jihad yang lebih mencabar. Kewajiban ini berterusan walaupun Rasulullah SAW sudah meninggal dunia dan disambung oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan beberapa peringkat cabaran yang dialami oleh pejuang Islam dalam menegakkan pemerintahan Islam,  

* “Islam bermula dengan pemerintahan berasaskan konsep Nabi, kemudian diikuti oleh konsep Khulafa’ ar-Rasyidin, diikuti pula berlakunya penguasaan raja yang zalim, seterusnya raja yang ganas dan akhirnya kembali semula kepada khalifaf di atas konsep Nabi.”

Benar seperti yang dilakarkan dalam hadis ini, Islam mencapai kejayaan pada zaman Rasulullah SAW Selepas Rasulullah meninggal dunia, tegak pula pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, pemimpin generasi awal hasil didikan daripada tangan Nabi. Selepas itu tegak pula pemerintahan sistem beraja yang masih lagi beramal dengan Islam walaupun berlakunya kezaliman dan penaklukan penjajah Barat ke atas negara-negara Islam. Umat Islam yang berkuasa terus dibelenggu penjajahan pemikiran walaupun penjajah asing sudah pergi manakala umat Islam yang lemah terus dimamah kezaliman akibat pengekalan amalan sistem penjajahan.

Fahaman sekularisme yang mengeluarkan politik daripada agama Islam adalah ajaran salah yang diwarisi zaman penjajah bukan Islam. Mereka menakluk dan memerintah negara-negara Islam selepas pemerintahan berkhalifah Uthmaniyah di Turki tumbang. Sebenarnya fahaman salah ini lahir akibat perpecahan masyarakat Eropah yang menganut agama Kristian menyeleweng daripada agama yang dibawa oleh Nabi Isa.

Islam menegaskan kewajipan memilih dan mengikut pemimpin adalah amanah besar dalam kehidupan dunia sebelum menuju akhirat. Kewajipan ini bukan sahaja dihitung dalam amal ibadat yang khusus malah turut dihitung dalam memilih dan mengikut pemimpin. Oleh itu, tuntutan ini termasuk dalam perkara benar ataupun sesat, pahala ataupun dosa. Pemimpin adalah pemegang amanah bagi melaksanakan syariat Allah dalam pemerintahan negara. Allah menyatakan :

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya); Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.” 
“Dan mereka berkata lagi; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.” 
“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.” (Surah al-Ahzab : ayat 66-68)

Penyebab masuk neraka itu bukan semata-mata kerana dosa syirik dalam ibadat, meninggalkan yang wajib, mengerjakan yang haram, malah kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam politik juga termasuk dalam penyebab ke neraka apabila mengikut bukan menurut petunjuk Allah dan Rasulullah SAW.

Hadis Rasulullah SAW menyebut:

* “Abu Hurairah menceritakan; Sedang Rasulullah S.A.W bercakap kepada orang ramai, tiba-tiba seorang Badwi datang lalu bertanya; Bilakah berlakunya kiamat? Rasulullah SAW meneruskan perbualannya tanpa mempedulikan soalan orang Badwi itu. Ada kalangan kami berfikir, Rasulullah SAW tidak senang dengan cara dia menyoal. Ada juga yang berfikir Rasulullah SAW tidak mendengar pertanyaannya. 

* Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya; Mana orang yang bertanya tadi? Orang Badwi itu menjawab; Ini dia, saya. Rasulullah SAW menjawab; Apabila dihilangkan amanah. Orang Badwi itu bertanya lagi; Bagaimanakah amanah itu hilang? Jawab Rasulullah SAW; Apabila diserahkan urusan pemerintahan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Saidina Umar menegaskan,

 * “Sesiapa yang melantik pemimpin kerana harta ataupun hubungan keluarga, bukan kerana kelayakan mereka, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya SAW.”

Begitu juga besarnya dosa pemimpin yang menipu rakyat, kerana Rasulullah SAW bersabda,

* “Tidak ada pemimpin yang mengendalikan urusan rakyat di kalangan kaum Muslimin lalu dia mati dalam keadaan menipu mereka melainkan Allah mengharamkannya masuk syurga.”

Ini menunjukkan urusan kepimpinan negara adalah kewajiban yang besar dalam ajaran Islam. Ajaran pemisahan agama daripada politik adalah menyalahi ajaran Islam yang sempurna.

Rasulullah Tidak Mewasiatkan Pengganti

Imam Bukhari dan Imam Muslim melaporkan,

“Khalifah Umar ditanya ketika beliau dalam keadaan tenat akibat cedera ditikam, supaya menamakan siapakah penggantinya. Katanya; Sekiranya aku menentukan, maka orang yang lebih baik daripadaku (Abu Bakar) pernah menentukannya. Sekiranya aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan, maka orang yang terbaik (Rasulullah SAW) pernah meninggalkannya (dengan menyerahkan urusan ini kepada umat supaya memilihnya).”

Imam Ahmad dan Imam al Baihaqi menyebut dalam kitab “Dalail an Nubuwwah” dengan laporan yang baik daripada Amar bin Sufyan ketika berlakunya peristiwa Perang Jamal. Apabila berlakunya penderhakaan kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, beliau berucap:

“Wahai semua yang hadir, Rasulullah SAW tidak menentukan kepada kami jawatan menjadi ketua negara, sehingga kami berpendapat Abu Bakar yang dilantik, lalu dia menjalankan tugasnya dan beliau meneruskan tugasnya dengan benar. Kemudian Abu Bakar menentukan Umar dengan persetujuan orang ramai, dia melaksanakan tugasnya dengan konsisten sehingga meletakkan agama di hadapan. Kemudian berlaku orang yang menuntut keduniaan (sahaja) maka berlakulah perkara-perkara yang menjadi ketetapan Allah.”

Kedua-dua teks ini adalah sumber yang sahih, Rasulullah SAW tidak mewasiatkan sesiapa menjadi calon khalifah selepas beliau meninggal dunia. Ada laporan yang tersebar dalam kalangan mazhab Syiah mengenai wasiat yang menentukan Ali menjadi khalifah. Namun, laporan ini tidak sahih daripada segi rekod ilmu hadis yang adil dan beberapa sumber yang menunjukkan Ali tidak bermaksud melantiknya menjadi khalifah.

Ini dikuatkan lagi dengan penyertaan dan penglibatan Ali sepanjang pemerintahan khalifah yang terdahulu daripadanya. Beliau membantu semua urusan dan mempertahankannya dengan penuh pengorbanan bersama seluruh Ahlil Bait. Kajian yang dibuat menunjukkan banyaknya hadis palsu yang direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman pada era pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Islam mendahului demokrasi Barat dengan meletakkan urusan politik negara menjadi hak rakyat secara adil, tidak ada amalan secara diktator, merampas dan menipu hak rakyat, teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada golongan agama dalam Islam atau menjadi pusaka warisan keluarga.

Kenyataan sejarah membuktikan pendekatan Islam berasaskan akidah, syariat dan akhlak, menjadikannya lebih baik daripada demokrasi Barat. Walaupun amalan demokrasi moden mempunyai pengaruh feqah politik Islam, tetapi ia disekularkan dengan memisahkan politik daripada agama. Rakyat menjadi mangsa pelbagai cara penipuan dan rasuah apabila pemimpin tidak beriman pada balasan hari akhirat dan tidak mengamalkan cara hidup tanpa memikirkan perhitungan pahala dan dosa. Hal ini kerana kepercayaan mereka, agama tidak wujud dalam kegiatan politik sekular. Amanah politik menjadi rebutan demi kemewahan dunia.

Bersambung.. ke siri 2 (IH/http://www.tarbawi.my/hrkh)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan