Rabu, 11 Mei 2011

Tafsir Mahmud Yunus Al-A'raaf ayat 179


179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.


KETERANGAN AYAT:


Di dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan bahawa kebanyakkan jin dan manusia itu masuk ke dalam neraka, ialah kerana mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka untuk memerhatikan dalil-dalil Tuhan dan mengetahui kebenaran, tidak menggunakan matanya untuk melihat makhluk Allah SWT sebagai iktibar dan pengajaran, dan tidak menggunakan telinganya untuk mendengar ayat-ayat Allah SWT dan riwayat-riwayat dahulu kala sebagai petunjuk  ke jalan kebenaran. Mereka seperti haiwan, kerana sama-sama tidak menggunakan akal fikiran, bahkan lebih sesat daripada haiwan, kerana haiwan memang tidak mempunyai akal fikiran.


Di sini jelas kepada kita bahawa Al-Quran mengajurkan supaya kita menggunakan akal fikiran dan menajamkan mata dan telinga untuk memerhatikan isi alam untuk menjadi petunjuk dan pengajaran serta mengetahui rahsia-rahsia alam yang dapat kita gunakan untuk kemaslahatan di dunia dan kebahagian di akhirat. Sebab itulah, ulama-ulama Islam zaman dahulu mengetahui bermacam-macam ilmu pengetahuan yang berfaedah untuk kemaslahatan dunia, bukan semata-mata ilmu fikah dan nahu saraf sahaja.


Tetapi selepas ulama-ulama Islam meninggalkan ilmu-ilmu itu, sehingga mereka menjadi lemah dan kalah oleh umat yang lain. Akhirnya mereka dijajah oleh bangsa asing. Memang pengetahuan itu kekuatan dan kejahilan itu kelemahan. Sebab itu, sesiapa yang hendak jadi kuat, hendaklah rajin menuntut ilmu pengetahuan. Untunglah sekarang umat Islam telah merdeka dan rajin menuntut ilmu moden dan teknik terbaru, sesuai dengan petunjuk Al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan